KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis berpangkat ASP dan seorang Sarjan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun membabitkan kerugian berjumlah RM5,150 di Gong Badak dekat sini, 1 Feb lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata Sarjan berusia 36 tahun itu ditahan pada Sabtu selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan penjawat awam pada hari sama, manakala pegawai berpangkat ASP berusia 42 tahun ditahan keesokannya.

Beliau berkata mangsa yang berusia 34 tahun di dalam laporannya mendakwa dibawa secara paksa oleh kedua-dua suspek ke sebuah stesen minyak di Gong Badak untuk mengeluarkan wang RM5,000 daripada mesin ATM di situ, sebelum menyerahkan RM150 lagi kepada kedua-duanya.

"Mangsa yang ketakutan terpaksa mengikut arahan kedua-dua suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu itu dan melakukan transaksi sebelum menyerahkan wang itu kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mazli, hasil siasatan melalui pengecaman gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua suspek ialah pegawai dan anggota polis.

Mazli berkata Sarjan berkenaan direman seminggu manakala pegawai polis selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

"Polis Terengganu memandang serius sebarang penglibatan pegawai dan anggotanya dalam kes jenayah. Siasatan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang akan dijalankan supaya dapat dihadapkan ke mahkamah," katanya menambah kedua-duanya telah digantung tugas.

-- BERNAMA